Sunday, March 20, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa



Hari pertama sahaja di 67 pawagam seluruh negara termasuk dua di Brunei, sambutan ke atas HMM cukup hebat.
Jumlah RM500,000 merupakan satu rekod sejarah perfileman tanah air apabila muncul sebagai filem tempatan pertama meraih kutipan setengah juta pada hari pertama tayangan.
Malah ramai yang tidak terkejut kalau filem arahan Yusry Abdul Halim itu bakal mencecah sehingga ke angka melebihi RM8 juta tidak lama lagi.
Namun bagi Yusry, kejayaan yang diperolehi hari ini bukan datang bergolek apabila dia terpaksa berdepan dengan sebuah penderitaan yang berat untuk ditanggung.

Dia mengakui pembikinan filem itu bukanlah satu kerja yang mudah kerana ia memakan masa lebih daripada dua tahun untuk disiapkan secara keseluruhannya.
Berkongsi pengalaman, jejaka berusia 38 tahun itu pernah berhasrat berhenti separuh jalan untuk mengarah HMM kerana terlalu penat dengan tempoh penggambaran yang membebankan termasuk melakukan pelbagai kajian.
"Ramai yang tidak tahu untuk pra-produksi sahaja, kami terpaksa mengambil masa selama setahun untuk mencari kostum, barang-barang penggambaran dan pembinaan set seperti kapal.
"Kami juga pergi sampai ke China untuk mencari barang, kostum dan senjata untuk disesuaikan dengan prop askar China.
"Sewaktu penggambaran baru dua minggu bermula, saya rasa macam putus asa pun ada. Ketika itu saya pernah terfikir macam tidak mampu lagi hendak meneruskan penggambaran.
"Ini kerana HMM merupakan benda baru apabila semua tenaga produksi di set lokasi tidak pernah memiliki pengalaman penggambaran filem epik," katanya berterus-terang.
Pengarah filem Cicak-Man dan Cicak-Man 2 itu berkata, penggambaran yang dibuat selama 52 hari bermula 9 Jun 2009 hingga 8 Ogos 2009 cukup meletihkan.
Katanya, walaupun hanya memperuntukkan penggambaran selama 12 jam setiap hari, cuaca yang panas dan hujan lebat silih berganti begitu menguji tenaga mental dan fizikal pelakon dan krew produksi.
"Saya bersyukur tempoh penggambaran HMM berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan. Bagi saya, penggambaran filem ini tidak boleh bercuti panjang walaupun berdepan masalah cuaca.
"Saya tidak mahu pasukan saya berpecah apabila jadual penggambaran tertangguh. Ini kerana ada pelakon yang perlu pulang ke Kuala Lumpur kerana mempunyai tawaran berlakon lain," katanya yang hanya sempat bercuti beberapa hari sepanjang penggambaran ketika abangnya, Norman melangsungkan perkahwinan.
Setahun sudah berlaluSelain itu kata Yusry, filem ketiga itu turut memberi cabaran kepada dirinya kerana sebanyak 3,000 syot memerlukan teknik imej janaan komputer (CGI).
"Story board HMM memang menggerunkan saya apabila melibatkan syot yang banyak melibatkan babak perang. Setiap malam sebelum tidur, saya pening memikirkan dari mana hendak memulakan penggambaran pada keesokkan harinya.
"Akhirnya, saya terpaksa membiasakan diri dengan jadual penggambaran harian dan menjauhkan daripada memikirkan jadual akan datang kerana tidak mahu rasa tertekan," katanya sempat ketawa kecil.
Dalam HMM, Yusry menggunakan kepakarannya dalam CGI untuk menghasilkan latar belakang berkonsepkan sejarah serta latar fizikal yang hanya terdiri daripada empat buah kapal, perkampungan Melayu pada abad kedua, pelabuhan kapal, set penggambaran istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India.
Tamat penggambaran kata Yusry, tempoh pasca produksi pula mengambil masa selama setahun untuk dilaluinya.
Ditanya kenyataan yang pernah dikeluarkan bahawa HMM mungkin merupakan filem epik terakhir arahannya, dia tidak menafikan perkara itu.
"Sebelum hendak melancarkan filem ini, pertama kali saya tengok skripnya cukup menakutkan. Rasa susah sangat nak buat.
"Tapi bila sudah buat story board, nampak macam mudah sikit. Dan saya pernah kata dengan wartawan kena berani kerana bukan senang nak mengarah filem macam HMM. Peluang datang sekali seumur hidup," katanya.
Bercakap tentang barang penggambaran seperti senjata yang digunakan, Yusry memberitahu peralatan itu sudah dilupuskan sebaik tamat penggambaran.
Katanya, ini kerana pihaknya perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri apabila melibatkan senjata merbahaya.
"Saya ada menghabiskan sebanyak RM1,000 untuk sebilah pedang dan ia melibatkan jumlah peralatan yang banyak.
"Sebagai contoh, kos untuk peralatan pakaian askar China termasuk senjata dianggarkan RM6,000 seorang dan bayangkan HMM memerlukan lebih 50 orang askar China.
"Saya difahamkan KRU Studios membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk kos kostum, barang-barang penggambaran dan pembinaan set seperti kapal sahaja," ujarnya yang berdebar pula menantikan filem keempatnya, Karak pada Mei ini.
Mengakhiri perbualan, Yusry diminta menjawab penderitaan yang ditanggungnya untuk menghasilkan HMM hingga pernah menitiskan air mata.
Katanya jujur, dia pernah menangis ketika mengadu kepada Norman apabila terlalu tertekan dengan pembikinan filem itu.
"Saya mengarah di Terengganu dengan hanya bertemankan rakan-rakan krew dan pelakon serta kami tidak bersama keluarga.
"Memang pernah terdetik saya apabila tidak sanggup mengarah lagi HMM. Bukan mudah untuk menguruskan set penggambaran yang besar dan tenaga kerja yang ramai terutama faktor cuaca yang di luar kawalan.
"Apabila hujan, semua set musnah dan kami terpaksa bina semula dalam masa yang singkat.
"Selain itu, skrip filem ini juga telah dirombak sebanyak 17 kali terutamanya melibatkan jalan cerita dan penggunaan dialog," luahnya menghela nafas sekali gus menutup perbualan kami.

Reactions:

0 comments:

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

Awan Putih - Punk Rock Jalanan .mp3
Found at bee mp3 search engine

footerwidget3

Kit Mudah Menjana Pendapatan Pantas!
?max-results=10">Content right'); document.write("?max-results="+numposts+"&orderby=published&alt=json-in-script&callback=showrecentposts\"><\/script>");
Powered by Blogger.