Saturday, April 9, 2011

Arsenal buru trofi pertama

ADAKAH kemarau kejuaraan selama enam tahun oleh penyokong Arsenal akhirnya akan terlerai pada malam esok pada perlawanan akhir Piala Liga? Atau Birmingham City bakal mengulangi kejayaan 48 tahun lalu yang mana mereka menewaskan Aston Villa 3-1 pada tahun 1963?

Buat skuad Gunners, perlawanan ini sudah tentu menjadi kesempatan terbaik untuk menjulang trofi selepas dikritik hebat gagal menjulang sebarang trofi selama ini walaupun dibarisi ramai pemain berbakat besar dan berkelas dunia.
Penukaran polisi Arsene Wenger yang sebelum ini cenderung menurunkan pemain muda pada aksi Piala Liga sebagai pendedahan dan kini meletakkan kesebelasan terbaik dalam setiap perlawanan, jelas membuktikan pengurus berbangsa Perancis amat terdesak mendapatkan kejuaraan pada tahun ini.
Arsenal semestinya akan tampil selaku pasukan pilihan berbanding Birmingham jika diukur daripada kesebelasan pemain yang akan diturunkan dengan kehebatan jentera serangan Gunners yang akan ditunjangi Robin van Persie.
Hanya berdepan sedikit ujian getir ketika menewaskan Tottenham Hostpur dan Newcastle di gelanggang lawan pada pusingan awal, Arsenal tidak perlu berdepan dengan mana-mana pasukan pilihan seperti juara musim lalu, Manchester United, Chelsea, Manchester City atau Liverpool dalam laluan ke akhir.Mereka harus sedar inilah kesempatan terbaik bagi memulihkan keyakinan peminat mereka dan pemerhati bola sepak yang sebelum ini sering mengkritik Arsenal sebagai pasukan hanya tahu menghiburkan penonton tetapi tidak tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan.
Walaupun begitu, dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut, persiapan Arsenal menerima tamparan hebat apabila kecederaan dua tonggak utama, Cesc Fabregas dan Theo Walcott ketika perlawanan berdepan Stoke City pada Rabu lalu.
Tanpa dua pemain itu, terutamanya Fabregas yang sering bertindak sebagai perancang utama serangan, Wenger mungkin terpaksa mengharapkan kreativiti Samir Nasri atau Andrei Arshavin dalam merobek kubu Birmingham.

Namun Wenger mungkin sedikit lega dengan adanya kelibat van Persie yang semakin mengganas di hadapan pintu gol lawan selepas merakamkan 10 jaringan dalam tujuh perlawanan Liga Perdana England (EPL).
Arsenal sudah tentu mengharapkan van Persie cergas sepenuhnya daripada kecederaan hamstring sebelum sepak mula malam esok kerana penyerang lain seperti Marouane Chamakh tidak boleh dipertaruhkan oleh Wenger.
Chamakh bagaikan pemain yang cepat kehabisan tenaga jika dilihat aksinya dalam beberapa perlawanan terakhir seperti bertemu Leyton Orient. Ternyata dia masih memerlukan banyak masa dalam menyesuaikan rentak pantas Arsenal.
Jika Fabregas tidak dapat diturunkan, Wenger dijangka akan meletakkan Denilson mengisi bahagian tengah untuk bergandingan dengan Alex Song manakala Jack Wilshere berkemungkinan dinaikkan ke bahagian serangan membantu van Persie, Nasri dan Arshavin.
Di bahagian pertahanan, Arsenal tetap mantap biarpun khidmat Thomas Vermaelen sudah lama tidak dapat digunakan kerana gandingan Johan Djourou dan Laurent Koscielny semakin serasi ditambah kehebatan penjaga gol muda, Wojciech Szczesny.
Malahan, dua rekod pertemuan dahulu jelas menunjukkan Arsenal berkelebihan besar daripada segi psikologi dengan memenangi kedua-dua perlawanan terbabit.
Namun begitu, Arsenal tetap mempunyai kelemahan tersendiri iaitu sering kali melepaskan gol kepada pihak lawan semasa situasi bola mati melalui sepakan percuma atau sepakan sudut.
Seperti mana diketahui peminat EPL, Birmingham antara pasukan yang gemar mendapatkan gol dalam situasi berkenaan dengan ketinggian Nikola Zigic menjadi pertaruhan.
Selain itu, dua pemain pertahanan, Roger Johnson dan Liam Ridgewell serta Craig Gardner sering kali mampu menghadirkan ancaman dengan di dalam kotak penalti lawan kerana acap kali bijak menghidu peluang terhidang pada keadaan bola mati.
Oleh itu, Arsenal harus memperbaiki kelemahan berkenaan jika tidak mahu Birmingham mengecewakan harapan mereka yang mahu menjulang trofi pertama dalam tempoh enam tahun.
Skuad kendalian Alex McLeish pula sedar mereka bakal turun dengan status underdog tanpa meletakkan sebarang pengharapan terlalu tinggi kerana tahu Arsenal jelas begitu bernafsu mahu mendapatkan Piala Liga.
Tetapi tidak mungkin McLeish akan mengaku kalah sebelum berjuang. Dalam perlawanan akhir, apa jua boleh berlaku ketika tekanan semakin memuncak terutamanya buat pasukan yang diletakkan sebagai pilihan seperti Arsenal.
Birmingham tetap mempunyai kekuatan tersendiri kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman seperti Lee Bowyer, Barry Ferguson dan dua bekas pemain Arsenal iaitu Alexander Hleb dan Sebastian Larrson.
Kehadiran dua pemain pinjaman, David Bentley dan Obafemi Martins ke dalam skuad Birmingham juga harus membuatkan Wenger berwaspada kerana kedua-dua pemain terbabit sering kali mampu menjaringkan gol ketika bertemu Arsenal.
Peluang tetap ada buat Birmingham jika mereka bijak memanfaatkan peluang yang terhidang melalui serang balas yang pantas apabila Arsenal leka dalam melakukan serangan.
Seandainya Birmingham terlebih dahulu mendapatkan gol dalam perlawanan itu dan mengamalkan corak bertahan selepas mendahului, Arsenal mungkin berdepan kesulitan besar untuk muncul sebagai pemenang.
Arsenal wajib memenangi perlawanan ini, sekiranya mereka tewas, penulis meramalkan ia akan memberikan kesan negatif secara psikologi buat Gunners yang masih berpeluang memburu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA dan EPL.
Malahan, tidak mustahil mereka bakal kempunan lagi pada musim ini tanpa sebarang trofi.
Antara Arsenal dan Birmingham, siapakah bakal menjuarai trofi pertama pada musim ini?
Jangan lupa saksikan perlawanan akhir esok pukul 11.30 malam di Astro Supersport 3.

Reactions:

0 comments:

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

Awan Putih - Punk Rock Jalanan .mp3
Found at bee mp3 search engine

footerwidget3

Kit Mudah Menjana Pendapatan Pantas!
?max-results=10">Content right'); document.write("?max-results="+numposts+"&orderby=published&alt=json-in-script&callback=showrecentposts\"><\/script>");
Powered by Blogger.