Saturday, April 9, 2011

MU-Arsenal mencari penawar duka

DUA pasukan teratas Liga Perdana England (EPL), Manchester United dan Arsenal bakal bertemu sekali lagi di Old Trafford pada musim ini selepas diundi bertemu di peringkat suku akhir Piala FA.
Ketika kedua-dua pasukan baru sahaja melalui minggu yang menyuramkan dalam dua minggu ini, pertemuan antara Red Devils dan Gunners dilihat tidak ubah seperti mahu mencari penawar duka.
United sudah semestinya sedikit cemas selepas kalah dua kali berturut-turut kepada Chelsea dan Liverpool dalam aksi Liga Perdana yang membuka ruang kepada Arsenal merapatkan jurang kepada tiga mata.
Malahan, Chelsea yang sebelum ini dianggap sudah terkeluar daripada persaingan dalam diam-diam mengambil kesempatan atas dua kekalahan seteru utama mereka itu untuk berada sembilan mata sahaja di belakang United dan berpeluang menjadikan enam mata sahaja jika menang dalam satu lagi baki perlawanan.
Buat Arsenal, kegagalan kepada Birmingham pada perlawanan akhir Piala Liga dan terkandas sekali lagi di tangan Barcelona kali ini di pusingan kedua Liga Juara-Juara meletakkan Gunners berada dalam kedudukan bahaya menghabiskan musim ini tanpa sebarang trofi sekali lagi.

Peluang Arsenal menamatkan kemarau enam tahun tanpa sebarang trofi kini hanya tinggal di dalam saingan liga dan Piala FA, satu kedudukan yang cukup menggusarkan Arsene Wenger.
Bertambah ironis, United kini menjadi batu penghalang utama impian Arsenal di dalam kedua-dua saingan berkenaan dan Wenger sedar rekod buruk Arsenal ketika bertemu United dalam beberapa tahun kebelakangan ini perlu dipecahkan jika mereka tidak mahu kempunan lagi.
Namun United ternyata tidak akan memberikan laluan mudah kepada Arsenal kerana mereka berdepan misi mahu menamatkan penantian tujuh tahun selepas kali terakhir memenangi Piala pada tahun 2003/04 biarpun Red Devils merupakan pasukan paling banyak memenangi trofi itu sebanyak 11 kali.
Dalam tempoh berkenaan, United kecundang dua kali pada perlawanan akhir iaitu kepada Arsenal pada musim 2004/05 dan 2006/07 pula kepada Chelsea.
Menurut Alex Ferguson, yang masih dalam nada kecewa selepas persembahan buruk anak buahnya ketika kecundang 1-3 kepada Liverpool, memilih Arsenal sebagai pasukan yang boleh menambah derita skuadnya.
“Arsenal semakin banyak menunjukkan peningkatan pada musim ini, jika dilihat pada saingan bulan Februari dan Mac dalam dua tiga musim lalu, mereka gagal konsisten walaupun bermula garang di awal persaingan.
“Malahan ramai pemerhati meramalkan trend yang sama akan berlaku sekali lagi pada tahun ini tetapi jelas pemain yang diasuh Wenger semakin menunjukkan kematangan, mereka adalah pencabar utama kami pada kali ini, ” katanya yang pertama kali memberikan kenyataan media selepas kalah kepada Liverpool, Ahad lepas.
Bagaimanapun, Ferguson sudah tentu sedikit resah kerana bakal kehilangan ayam tambatannya, Nani yang terpaksa direhatkan selama sebulan ekoran kecederaan tulang keting yang diperolehinya disebabkan terjahan keras Jamie Carragher.
Walaupun begitu, berita baik buat peminat United ialah seorang lagi pemain sayap berbisa mereka, Antonio Valencia semakin cergas dan mungkin mampu berada di kesebelasan pemain namun bergantung kepada tahap kecergasannya pada hari perlawanan.
Valencia telah menjalani latihan tiga minggu bersama United dan hampir berada di bangku simpanan pemain semasa di Anfield tetapi Ferguson enggan memperjudikan khidmat pemain sayap Ecuador itu kerana meragui kecergasannya.
Kembalinya Nemanja Vidic di bahagian pertahanan selepas selesai menjalani penggantungan satu perlawanan juga memberikan keyakinan tambahan kepada Ferguson bahawa skuad itu pasti amat sukar dijinakkan oleh Arsenal.
Arsenal pula berdepan kerumitan apabila kaptennya, Cesc Fabregas disahkan mengalami kecederaan hamstring selepas perlawanan dengan Barcelona dan ketiadaan pemain atarabangsa Sepanyol itu pasti menjejaskan persembahan Gunners secara keseluruhan.
Fabregas adalah `playmaker’ kepada serangan Arsenal dan kehilangannya pasti dirasai Robin Van Persie yang amat memerlukan hantaran kreatif pemain berumur 23 tahun itu dalam usaha mendapatkan gol.
Dengan tiadanya Fabregas, Jack Wilshere dan Samir Nasri diharapkan mampu mengisi tanggungjawab berkenaan.
Selain itu, Wenger juga berdepan masalah dalam menurunkan barisan terbaik apabila Wojciech Szczesny mengalami kecederaan di bahagian jari yang terkehel dan Manuel Almunia mungkin menjadi pilihan terbaik buat pengurus berbangsa Perancis itu buat masa kini.
Kehadiran Almunia, penjaga gol yang begitu sinonim melakukan kesilapan mudah mungkin memberikan banyak masalah kepada pertahanan Arsenal yang bakal diterajui Laurent Koscielny dan Johan Djourou.
Ini kerana Almunia pasti akan memberikan banyak ruang kepada pertahanan lawan mencuri ruang semasa situasi bola lintang kerana dia sering teragak-agak membuat keputusan dan lambat melakukan komunikasi dengan pemain, satu kualiti yang tiada pada dirinya.
Ditambah dengan prestasi tidak menentu Abou Diaby dan Denilson di bahagian tengah, Wenger perlu mengharapkan keajaiban jika mahu mengalahkan United dalam aksi di Old Trafford.
Harus diingat, Arsenal kali terakhir menang di Old Trafford pada 17 September 2006, satu tempoh yang cukup lama dan kelebihan psikologi ternyata akan berpihak kepada United.
Walaupun begitu, di dalam Piala FA, tiada apa yang mustahil buat mana-mana pasukan untuk menang dan ia terbukti jika dilihat sejarah pertandingan yang berusia 140 tahun itu.

Reactions:

0 comments:

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

Awan Putih - Punk Rock Jalanan .mp3
Found at bee mp3 search engine

footerwidget3

Kit Mudah Menjana Pendapatan Pantas!
?max-results=10">Content right'); document.write("?max-results="+numposts+"&orderby=published&alt=json-in-script&callback=showrecentposts\"><\/script>");
Powered by Blogger.