Saturday, April 9, 2011

Raja Lawak jadi Raja Libas

SEBELUM ini kewujudan dan penglibatan sebuah pasukan bola sepak atau futsal artis memang tidak asing bagi sesiapa dalam beberapa perlawanan persahabatan, tetapi bagaimana dengan sebuah pasukan dalam sukan yang memerlukan kemahiran khas seperti sepak takraw?
Kalau kita sentiasa menonton filem klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, bakat dan minatnya kepada sepak takraw turut kerap diselitkan dalam filem Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku dan tidak lupa dialog lucu seorang kadam ketika mengumumkan nama Sadiq Sepak Raga dalam Tiga Abdul.
Sekitar 1960-an, Seniman Agung negara ini dikatakan handal bermain sebagai pengumpan atau apit kiri dengan sebuah kelab, Sang Saka Buana di Singapura selain mengurniakan Oskar Sumbangsih Sepak Takraw P. Ramlee pada sebuah pertandingan yang sehingga kini dipamerkan di Rumah P. Ramlee, Kuala Lumpur.
Menilai prestasi peserta Raja Lawak 5 Astro dalam perlawanan sepak takraw persahabatan dengan Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris), rupa-rupanya ada segelintir yang berbakat dan wajar diketengahkan atau digabungkan dengan artis lain sebagai sebuah pasukan Artis Malaysia.

Tahap permainan Idlan @ Abang Kassim Pon-pon sudah pun terbukti dalam Kejohanan KFC-Utusan Malaysia 2010 malah naib juara Raja Lawak 4 itu kerap beraksi dalam beberapa pertandingan di merata tempat bersama sebuah regunya dari Kedah termasuk Piala Presiden PSM Siri 1, Januari lalu.
Selainnya, seorang lagi peserta Raja Lawak 5, Rahim Mat Ali @ Aim daripada kumpulan R2 pula bukan sahaja mempunyai kemahiran mengawal, menimang dan mengumpan bola malah sudah berpengalaman bermain dalam beberapa kejohanan terbuka khasnya di Selangor.
Pengacara Raja Lawak sejak musim kedua, Johan yang biarpun tidak hadir beraksi, mendukung satu watak yang tidak kurang penting di samping pelakon handalan, Rosyam Nor dalam sebuah filem aksi komedi yang mengambil tema perlawanan sepak takraw dan dijangka ditayangkan di pawagam, tahun ini.
Itu belum lagi jika digabungkan dengan peserta Raja Lawak dalam beberapa musim lalu yang mungkin turut berbakat di samping nama besar lawak, lakonan dan seni suara atau pengacaraan seperti Mat Over, Din Maidin Gerak Khas, Roy Azman, Isma Aliff, Zul Huzaimy, Awie dan Amir Ukays serta AC Mizal mahupun Mawi Akademi Fantasia.
Namun, perlawanan berjudul khas, 'Libas dan Lawak' yang ditaja Mizi Sports Centre dan disokong Rejam-Pallas, 100PLUS dan Mirazi Catering serta Majlis Sukan Negara (MSN) pada 26 Februari di Gimnasium 2, Bukit Jalil ini tetap berlangsung dengan meriah, lucu dan menghiburkan.
Tanpa terlalu mencari juara perlawanan ini yang turut mempertandingkan sebuah piala khas, kedua-dua pasukan masih menunjukkan semangat kesukanan tinggi dan kehebatan tersendiri dalam perlawanan berformat berpasukan (empat regu) yang akhirnya dimenangi Keris 4-0.
Media A (Rahmad Awang, Rasid Masiraji dan Muhammad Haffizul Ibrahim) menewaskan Raja Lawak A (Ridzhuan Mat Ali @ Lopez R2, Aim R2 dan Kassim Pon-pon) 21-17, 21-12 manakala Media B (Daud Abdullah, Mohammed Hairul Kusdi dan Mohd. Azhan Mohd. Nor) mengalahkan Kecik Pukaw, Ai Pukaw dan Epy 21-4, 21-10.
Bersama Tun, Aim R2 dan Idlan kembali dalam Raja Lawak C untuk cuba bangkit menyaingi dan memburu kemenangan tunggal namum terpaksa akur kepada Media C (Azmi Khamis, Ahmad Sabri Markon dan Mohd. Nurazhar Amdah) 19-21, 15-21.
Sambil menyelitkan aneka aksi lucu dan bersahaja, regu D Raja Lawak 5 (Fendi Balas, Nazmi dan Ai) juga tewas 10-21, 12-21 kepada Mohd. Zubir Muhamad Shari dan Mohd. Izzuddin Kamaruddin dalam Media D yang turut disertai Kareem yang kebetulan datang dari Perancis untuk mendekati sepak takraw gaya Malaysia.
Apit kiri atau pengumpan regu pertama dan ketiga Raja Lawak 5, Aim R2 dipilih sebagai Pemain Terbaik pasukannya sementara kakitangan RTM yang juga tekong veteran regu ketiga, Azmi Khamis memenangi anugerah yang sama bagi Media Malaysia.

Reactions:

0 comments:

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

Awan Putih - Punk Rock Jalanan .mp3
Found at bee mp3 search engine

footerwidget3

Kit Mudah Menjana Pendapatan Pantas!
?max-results=10">Content right'); document.write("?max-results="+numposts+"&orderby=published&alt=json-in-script&callback=showrecentposts\"><\/script>");
Powered by Blogger.