Saturday, April 9, 2011

Lee Chong Wei Juara

SEMUA peminat badminton dunia melihat pertembungan Datuk Lee Chong Wei dan musuh ketatnya, Lin Dan sebagai final paling sempurna pada kejohanan All England yang akan membuka tirai, Selasa ini, namun dengan Chong Wei sering tumbang kepada jaguh China itu setiap kali bertemu dalam perlawanan akhir kejohanan utama dunia, ia mungkin akan menjadi mimpi ngeri buat peminat Malaysia.
Sudah tentu, Chong Wei pernah menjinakkan Lin Dan beberapa kali di pentas antarabangsa tetapi tidak setiap kali tiba kejohanan berprestij seperti final Sukan Olimpik 2008 di Beijing dan final All England 2009. Dia juga tumpas kepada jaguh China itu pada separuh akhir Piala Thomas di Kuala Lumpur tahun lalu, dan saingan perebutan emas Sukan Asia 2010.
Dengan undian tidak memerlukan kedua-dua pemain bertembung di peringkat awal saingan, maka final dilihat sebagai pentas terbaik untuk menemukan dua jagoan dunia itu, yang kini berada dalam kelas tersendiri dan meninggalkan pemain-pemain perseorangan yang lain.
Jika Chong Wei turun untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada sambutan ke-100 All England tahun lalu, Lin Dan pula mencari gelaran kelima selepas muncul juara 2004, 2006, 2007 dan 2009, iaitu tahun di mana dia menumpaskan Chong Wei 21-19, 21-12 pada perlawanan akhir.
Kelibat kedua-dua pemain ini memang sering dinantikan, manakala pertembungan mereka sering menjadi buah mulut, namun pada akhirnya jika rekod menjadi perbandingan, Lin Dan nyata lawan yang lebih unggul dengan memenangi 16 daripada 23 pertemuannya dengan Chong Wei, malah menang dalam dua pertemuan terakhir - final Terbuka Korea (30 Januari) dan final Sukan Asia 2010, Disember lalu.
Lin Dan bukan saja cabaran hebat yang perlu ditangani Chong Wei dalam usaha mempertahankan kejuaraan, malah jaguh No. 1 dunia itu juga sekali lagi terpaksa menerima hakikat akan beraksi tanpa mentornya di sisi selepas Datuk Misbun Sidek meletakkan jawatan sebagai jurulatih kebangsaan, 31 Disember lalu.

Kejuaraan
Sekali lagi, tugas mengawasi pemain terbaik negara ini akan dipikul Teh Seu Bock, sambil dibantu ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek. Biarpun mengakui agak janggal tanpa Misbun, namun Chong Wei telah membuktikan dia tetap mampu mengharungi cabaran dengan mempertahankan kejuaraan Siri Super Masters Final di Taiwan, Januari lalu tanpa jurulatihnya itu.
Malah, pengakuan Chong Wei bahawa dia semakin selesa bersama Seu Bock turut memberi kelegaan kepada peminat badminton tanah air untuk melihat aksi konsisten Chong Wei di pentas antarabangsa diteruskan, sekali gus mengharapkan satu pertembungan final yang menarik dipertontonkan oleh pemain itu andai Lin Dan menjadi pencabar yang perlu ditentang.
Namun, sebelum Chong Wei boleh memikirkan tentang 'final ngeri' yang menjadi impian seluruh peminat badminton, dia perlu terlebih dulu melepasi ranjau awal yang tidak kurang hebatnya. Pemilik lapan kejuaraan 2010 itu akan memulakan kempen dengan menentang So Sasaki dari Jepun, sebelum berdepan jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro atau pemain tinggi lampai Chinai, Bao Chunlai pada pusingan kedua.
Jika mara ke suku akhir, tiga lawan berpotensi untuk ditemui adalah Simon Santoso dari Indonesia, jaguh No. 1 Thailand dan pilihan kelapan, Boonsak Ponsana serta pemain muda Denmark, Joachim Persson.Melangkah ke separuh akhir pula bermakna, jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade atau pilihan kelima, Chen Long dari China menjadi lawan yang harus ditemui penyandang juara itu.
Lin Dan pula berada dalam kelompok undian sebelah bawah bersama juara dunia dan rakan senegaranya, Chen Jin, selain juara Olimpik 2004 dari Indonesia, Taufik Hidayat. Turut berada dalam kelompok ini adalah perseorangan veteran negara, Wong Choong Hann.
Bagi Chong Wei, biarpun mengelak daripada bertembung Lin Dan dalam saingan awal, itu tidak bermakna dia menerima laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan, apatah lagi All England adalah antara kejuaraan yang mendambakan semua pemain badminton dunia dan setiap pemain pasti memberikan lebih daripada 100 peratus untuk mencipta kemenangan.
"All England adalah kejohanan berprestij, semua orang sudah tentu mahu memenanginya. Saya mungkin kelihatan seperti mampu melangkah ke final dengan mudah, tetapi ia cuma secara kasar di atas kertas, hakikatnya setiap perlawanan tidak mudah yang difikirkan.. ia penuh ranjau.
"Kebanyakan pemain yang akan saya temui sangat berpengalaman, lebih bahaya lagi mereka juga tidak pernah memenangi kejuaraan ini dan pasti amat menginginkan gelaran, jadi saya perlu memenuhi halangan yang amat mencabar dalam laluan ke final, namun saya janji akan beri yang terbaik dan terdaya untuk tidak melepaskan gelaran,'' ujar Chong Wei.
Selain mengharapkan sentuhan kemenangan daripada Chong Wei, harapan peminat badminton negara juga disandar kepada pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, sekalipun anak didik Rexy Mainaky ini semakin 'hilang taring' dan gagal memenangi sebarang kejuaraan sepanjang 2011.
Tambah memburukkan lagi keadaan, sudahlah bergelut dengan prestasi terumbang ambing, beregu No. 5 dunia ini terpaksa berdepan pula 'undian maut' yang menemukan mereka dengan juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia, juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China serta pasangan yang tidak pernah dikalahkan dalam empat pertemuan, Ko Sung-hyun-Yoo Yeon-seong dari Korea.
Cabaran getir
Kempen pasangan utama negara itu untuk merampas kejuaraan yang dimenangi pada 2007 akan dimulakan dengan bertemu pemain dari pusingan kelayakan, sebelum bertemu pemenang di antara Chen Hung Ling-Lin Yu Yang dari Taiwan atau Ingo Kindervater-Johannes Schoettler dari Jerman. Dan selepas itu, barulah ranjau sebenar mereka akan bermula dengan tiga pasangan terbaik menanti dalam laluan ke final.
Cabaran beregu negara turut dipikul pasangan pelapis terbaik, Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah, selain beregu berpengalaman, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How serta Gan Teik Chai-Tan Bin Shen. Namun secara realistik, harapan kita hanya boleh disandar kepada Kien Keat-Boon Heong yang pernah memiliki rekod baik di peringkat antarabangsa, biarpun agak tenggelam sejak akhir-akhir ini.
Tiga lagi beregu negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock, Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen pula diletak dalam kelompok yang sama di bahagian atas yang turut menempahkan pasangan No. 1 dunia, Mathias Boe-Carsten Morgensen dan beregu handalan Korea, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung.
Dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo berdepan cabaran getir sejak perlawanan pembukaan apabila bakal berdepan pilihan ketiga, Wang Xin dari China. Jika dia berjaya melakar kejutan besar kejohanan, Mew Choo sekali lagi perlu berdepan halangan jaguh China, sama ada Lu Lan atau Jiang Yanjiao di pusingan kedua.
Seperti Chong Wei, pemergian ratu badminton negara itu di Birmingham juga tanpa diiringi jurulatih, selepas mentornya, Wong Tat Meng meletak jawatan awal bulan ini untuk berhijrah ke Indonesia. Mew Choo akan diawasi oleh Rashid dan Seu Bock sepanjang saingan.
Malaysia turut memiliki dua wakil dalam beregu campuran, diketuai juara Asia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang akan menentang pilihan ketujuh, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia di pusingan pembukaan, manakala Ong Jien Guo-Sabrina Chong memulakan kempen dari pusingan kelayakan.

Reactions:

0 comments:

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

Awan Putih - Punk Rock Jalanan .mp3
Found at bee mp3 search engine

footerwidget3

Kit Mudah Menjana Pendapatan Pantas!
?max-results=10">Content right'); document.write("?max-results="+numposts+"&orderby=published&alt=json-in-script&callback=showrecentposts\"><\/script>");
Powered by Blogger.